Thursday, October 22, 2009

Literasi Al-Quran Dalam Kehidupan

Assalamualaikum....

Hujung minggu ini akan berlangsungnya Kem Literasi Al-Quran Peringkat Daerah Kuala Selangor. Kem yang akan menghimpunkan ratusan murid yang tidak mencapai tahap dalam silibus bacaan iqra' sekolah rendah. Kem ini mengariskan objektif utama untuk memulihkan murid-murid yang masih dalam iqra' 1@2 walaupun sudah berada di tahun 3.

Perkara ini dipandang serius oleh pihak guru-guru j-QAF kerana j-QAF datag ke ssekolah untuk memastikan murid-murid lemah ini mampu membaca Al-Quran apabila sudah tahun 6. Oleh kerana itulah mereka ini perlu dipulihkan selewat-lewatnya tahun 4. Jika tidak pada kebiasaannya mereka tidak akan mampu membaca Al-Quran apabila masuk ke sekolah menengah.

Hari ini adalah hari terakhir di PPD Hulu Langat (sebelah Tesco Kajang) menghadiri kursus pemantapan guru jqaf ambilan 2008 siri ke 5. Antara pengisiannya, telah diadakan sesi tasmik Al-Quran oleh Para Jurulatih Utama kepada pada peserta. Berkenaan ayat-ayat gharib dalam Al-Quran. Namun yang sedihnya, ada juga dikalangan guru jQAF yang masih lagi membaca Al-Quran dalam keadaan menyedihkan.
(Dewan Persidangan PPD Hulu Langat yang besar macam dewan kuliah universiti)

Bukanlah ingin membuka pekung guru-guru jqaf ini tetapi teringat kepada murid-murid yang akan menyertai kem literasi. Adakah kerana kualiti guru-guru yang sebegini yang menjadikan anak-anak murid mereka lemah Al-Quran. Adakah perlu juga diadakan literasi kepada guru-guru ini...sama-samalah ita fikirkan...

(sebahagian daripada jurulatih utama yang hadir)

Segalanya adalah peringatan kepada diri saya sendiri dan rakan-rakan jurulatih utama. Sentiasalah bermuhasabah dan memperbaiki diri dari segala sudut. Al-Quran bukanlah sekadar sahabat kita di dunia tetapi juga di akhirat. Kerana itulah, jikalau dalam bab Al-Quran kita tidak boleh ambil mudah. Sentiasalah perbaiki bacaan Al-Quran. Kalaupun tidak jumpa guru yang mursyid paling tidak pun bertemulah dengan sahabat yang berilmu dalam Al-Quran.

Setakat ini dulu.Jumpa lagi.Wassalam

Wednesday, October 21, 2009

Salam penghujung Syawal...

Assalamualaikum...

Hari ni tamat kursus pemantapan di Dewan Perdana, Pejabat Pelajaran Daerah(PPD) Petaling Perdana. Alhamdulillah dengan kehadiran Penolong Pengarah Kanan j-QAF , kursus ini telah dirumuskan dengan baik dan memberi kesan yang positif pada para peserta. Walaupun ketua JU agak fokus dengan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian, namun natijah kepada para peserta agak memberangsangkan.

Esok kami para JU akan turun ke PPD Hulu Langat untuk meneruskan misi Pemantapan guru program j-QAF yang telah digariskan oleh jabatan. Tapi di sebelah pagi, di Kuala Selangor ada Hari bersama Pelangan PPD Kuala Selangor. Saya turut membantu dalam urusan penyediaan kad badan ihsan dan persiapan booth jQAF. Walaupun booth jQAF dah disiapkan 80% oleh zaujah dan beberapa orang sahabatnya sampai pening-penning kepala. Biasa la pendapat yang pelbagai dan berbeza.

Apa pun...doakan kami semua supaya dapat melaksanakan tugas dengan baik. Wassalam

Tuesday, October 6, 2009

Dalam proses transformasi....

Assalamualaikum...

Maaf kepada semua pengunjung blog ini kerana blog ini dalam proses pengubahsuaian. Harap dapat bersabar dan mendoakan dapat melihat perubahan yang lebih baik. Terima kasih kepada sifu blog...us hamidi dengan tunjuk ajarnya.

Wassalam.

Monday, October 5, 2009

Salam Syawal dan Pemantapan Diri...

Assalamualaikum dan salam syawal...

Hari raya Aidil fitri sudah pun berlalu pergi tetapi bahangnya masih terasa. Dengan adanya 'open-open house' sanak saudara, sahabat handai mahupun rakan-rakan sekerja. Tahun ni saya sekeluarga beraya di tanjong karang. Perlis insyaAllah hari raya Aidil Adha masa cuti sekolah.








(Irfan dengan ibu siap nak beraya....thn keluarga saya berbaju raya hijau...)


Di kesempatan ini saya sekeluarga memohon maaf zahir dan batin kepada sesiapa sahaja yang mengenali kami sekeluarga. Semoga ramadhan tahun hadapan kita semua akan bertemu lagi dan terus memperhambakan diri kepada Yang Maha Esa.















(gelagat Eimad zihni dan Irfan Zuhdi pertama kali beraya bersama...ahlan wa sahlan...)

Saat dan ketika saya meng'update'kan blog ini,kami Jurulatih Utama j-QAF negeri Selangor
sedang berkursus di Hotel Goldcourse, Klang. Kursus Pemantapan Guru-Guru Pendidikan Islam Program j-QAF 2009 untuk guru-guru j-QAF ambilan 2008. Kursus yang menghimpunkan hampir 80 orang guru yang mewakili daerah masing-masing.
(sebahagian peserta kursus pemantapan...)

(bersama Us.Anwar JU j-QAF gombak...)

Namun tahun 2009 ini,hanya siri-1 sahaja diadakan di hotel. Siri ke-2 hingga ke-6 akan di adakan di pejabat pelajaran daerah kuala selangor, gombak, hulu langat dan petaling perdana sepanjang bulan Oktober dan awal November. Bagi para jurulatih utama lepas ni akan terus berkorban masa bersama keluarga demi memenuhi tuntutan tangungjawab. 'Apa yang penting...' teruskan perjuangan. Jom kursus pemantapan...

(Us.Zubaidi tekun menelaah bahan kursus...)


(berkesempatan dengan Us. Wan Yusof Pen.Pengarah Kanan Operasi Jab Pelajaran Sel.)

Salam jumpa lagi...Ilal liqa'...

Saturday, September 5, 2009

Salam 14 hari Ramadhan...

Assalamualaikum,

Terawih malam ini di Tanjong Karang...Masjid Ar-Raudhah. Sayu rasa hati, dengan bacaan imam yang mendayu-dayu. Kadang kala terfikir, setimpalkah dengan peluang yang telah Allah izinkan selama 14 hari di bulan Ramadhan dengan amal ibadat yang telah dilaksanakan. Bagaimana orang-orang soleh tidak lekang dengan sujud memohon keampunan tatkala Ramadhan bakal menjengah 10 hari yang terakhir. Bagaimana pula diri sendiri yang seringkali lalai dan alpa akan usaha memperbanyakkan amalan dan zikir yang sepatutnya. Keluhan 14 hari Ramadhan.

Tidak banyak yang ingin saya tulis di sini tapi ingin berkongsi apa yang saya terbaca tazkirah oleh ust. Zaharuddin...www.zaharuddin.net -

"OBJEKTIF PUASA & ANTI VIRUS DOSA

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya :
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa ( Al-Baqarah : 183)

Kalimah ‘La'alla' di dalam ayat di atas boleh diterjemah kepada maksud, ‘agar' atau ‘semoga' atau ‘mudah-mudahan'.Kalimah ini menjadi tanda bahawa apa yang selepasnya adalah objektif kepada puasa. Kalimah ini memberi makna, pelaksanaan ibadah puasa mampu membawa seseorang untuk memiliki sifat taqwa, sebuah antivirus kepada segala jenis penyakit hati dan dosa.

Di dalam dunia fizikal dan material. Tanpa anti virus, swine flu, brid flu, Aids dan pelabagai lagi virus boleh menjadi asbab kepada kematian manusia.Tanpa antivirus taqwa, iman dan islam seseorang juga akan mati, sama ada dia seorang kanak-kanak, remaja, dewasa atau tua.Tanpa antivirus taqwa, manusia hari ini menjadi kelam kabut serta hina tanpa pedoman, hidup sering berpura-pura.

Anak berpura-pura baik di hadapan ibu ayah, Murid dan pelajar berpura-pura di hadapan guru dan pensyarahnya, Ibu ayah berpura-pura baik di hadapan anak dan para ustaz, Para ustaz dan ustazah berpura-pura baik di hadapan khalayak ramai Isteri berpura-pura baik di hadapa suami, Suami berpura baik di hadapan isteri Dan berpanjanganlah senarainya.

Semua akibat ketiadaan antivirus dosa, iaitu TAQWA. Kebaikan dan ibadah menjadi bertempat dan bertempoh, tiada istiqamah serta konsisten. Keredhaan dan pujian manusia lain menjadi objektif tertinggi, menyeleweng dari objektif sebenar.


Tatkala itulah hadirnya musim pemulihan, Allah swt sediakan peluang bagi manusia yang sifatnya asyik berdosa dan berpura-pura agar kembali membetulkan punca salah, bajai akar kehidupan dengan iman, sirami ia dengan air TAQWA selaku pencegah kepada kepura-puraan dan kecintaan kepada nikmat sementara dunia serta perbuatan dosa..."


Beberapa perkara yang dapat saya petik dari tazkirah beliau. Mudah-mudahan ada manfaatnya.

Salam Ramadhan ke -15...Wassalam.

Thursday, August 13, 2009

SYAHADAH...Ustaz Asri Rabbani...

Assalamualaikum...

"AL-Fatihah untuk Ustaz Asri Ibrahim yang baru meninggal dunia jam 11am td di Hospital Pantai kerana sakit jantung. Doakan kesejahteraan ruhnya. Amin." sms yang dipercayai dari adik perempuan Us.Asri kepada isteri saya.

Memang terkejut dan terkesima dengan berita pemergian seorang pendakwah. Siapa tak kenal Ustaz Asri Ibrahim kumpulan Rabani. Baru minggu lepas keluar dalam TV 3 ditemuramah wartawan Melodi mengenai kejayaan Konsert Antara Dunia anjuran GAMIS. Dalam perjalanan ke sekolah dalam jam 12 tghri, saya mendapat sms dari isteri mengatakan pemergian Us.Asri . Katanya makluman dari seorang kawan.

Untuk mengesahkan lagi berita saya sms Fizarahman, penerbit album terbaru Rabbani berjudul Nostalgia Nadamurni. Memang sah berita itu katanya dan ketika itu beliau berada di hospital Pantai. Berita perginya Micheal Jackson sedih tapi tiada apa-apa makna buat saya. Perginya Yasmin Ahmad tidak terlalu sedih tapi betapa pilu dan sedih rasanya apabila mendapat khabar berita pemergian seorang pendakwah baik budi pekertinya dan tinggi akhlaqnya malah sentiasa memikirkan cara untuk memperjuangkan Islam melalui nasyid.

Teringat saya ketika di Matrikulasi Nilam Puri bersama sahabat termasuk Fizarahman dan Us. Nazib pergi kerumah kerja mereka di Manjalara KL.Tujuannya pergi nak bertanya kalau2 boleh buat album untuk Izdan Nilam Puri. Beliau memang seorang yang baik dan peramah.

Namun apa yang boleh kita buat, melainkan doa yang dipanjatkan ke Hadrat Ilahi moga ruhnya bersama Para Auliya' dan Solehiin. Apa yang pasti Semua akan mati. Yang lebih penting mati dalam Husnul Khatimah bukanlah Suuul Khatimah. Moga-moga kita semua diberikan Husnul Khatimah olehnya. "Allahummagh firlahu wa 'aafihi wa'fu'anhu..."Amin.


(Ustaz Asri dalam kenangan...)


p/s: teringat lagu Hijjaz untuk sahabat mereka,

....telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami

kerana takdir yang maha esa telah menetapkan....




Monday, August 10, 2009

SOLAT ITU TIANG AGAMA...

Assalamualaikum..

Mahrajan jQAF kuala selangor baru-baru ni berlangsung dengan baik dan jayanya. Dengan kehadiran perasmi iaitu YB Hj Sulaiman bin Abd Razak telah menyerikan lagi majlis. Tambahan pula dengan sumbangan kewangan berjumlah RM 5,000/= yang telah dijanjikan. Alhamdulillah.

(wajah-wajah Johan Dikir barat Bahasa Arab)

Johan peringkat daerah dikir barat SK Bandar Baru KS, kalam jamaie SK Bkt Badong, tilawah lelaki SK Bandar Baru KS, tilawah perempuan SK Assam Jawa dan kuiz SK Assam Jawa. Tahun ni kuala selangor akan menjadi tuan rumah Mahrajan peringkat negeri (kalau jadi)...mudah - mudahan kuala selangor akan peroleh banyak kejayaan. Kalau tak johan pun naib johan jadilah.

(peserta yang mendapat Naib Johan Kalam Jamaie')

Memang berbaloi pergi ke Masjid Wilayah Persekutuan minggu lepas. Bersama dengan beberapa orang sahabat yang mewakili Jabatan Pelajaran Selangor menghadiri Seminar Sains Solat Kebangsaan. Ustaz Zubaidi, Ustaz Affendi dan Ustaz Hamidi turut hadir.

Sebanyak 8 Kertas Kerja dibentangkan iaitu:(1). "Konsep dan Pengamalan Solat 5 Waktu" - oleh Y.Bhg Dr. Muhamad Uthman El-Muhammady dari ISTAC, IIUM(2). "Solat Daripada Perspektif Sains Kepada Otak" - oleh Y.Bhg. En. Ng Siew Cheok, UM(3). "Solat Daripada Perspektif Sains Kepada Sistem Otot"- oleh Y.Bhg. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abbas, UM(4). "Solat Daripada Perspektif Sains Kepada Komposisi Badan"- oleh Y.Bhg. Prof Madya Dr. Fatimah binti Ibrahim, UM.

(bergambar kenangan di hadapan Masjid KL)

Seterusnya (5). "Solat Daripada Perspektif Sains Kepada Denyutan Jantung"- oleh Y.Bhg. Prof Madya Dr. Wan Azman Wan Ahmad, UM(6). "Solat Daripada Perspektif Sains Kepada Sakit Pinggang"- oleh Y.Bhg. Prof Madya Dr. Fatimah binti Ibrahim, UM(7). "Solat Daripada Perspektif Agama"- oleh Y.Bhg. Prof Madya Dr. Anisah Abd Ghani, UM(8). "Solat Daripada Perspektif Sains Kepada Disfungsi Ereksi (Mati Pucuk)"- oleh Y.Bhg. Prof Madya Dr. Fatimah binti Ibrahim, UM.

(bersama sahabat lama tak jumpa..Pegawai JAKIM, Ustaz Hafeez-yang berkot)

Semua kertas kerja yang dibentangkan memang menarik kerana ia berkait dengan kehidupan kita seharian. Bahkan melibatkan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim. Dimaklumkan juga kajian yang telah dibuat di Indonesia untuk seramai lebih kurang 30 orang(kalau tak silap) selama 3 bulan, telah dibuktikan bahawa solat tahajjud dapat meningkatkan sistem imuniti badan dan boleh menyelamatkan pesakit kanser. Subhanallah

(Dalam Dewan Serbaguna MAsjid KL...duduk sebelah Us.Afendi mmg tak ngantuk, Us.Zubaidi khusyuk mencatat nota untuk masternya...di samping Us.Hamidi)

Begitulah hebatnya kekuasaan Allah dengan ibadat yang pertama akan disoal di padang mahsyar kelak. Ok setakat ni dulu. Wassalam.

p/s: terserempak dengan Ustazah Anisah...syukur dia masih lagi mengenali muka-muka anak muridnya...tapi wajah Ustazah tetap berseri macam dulu juga.

 

Featured