Saturday, September 5, 2009

Salam 14 hari Ramadhan...

Assalamualaikum,

Terawih malam ini di Tanjong Karang...Masjid Ar-Raudhah. Sayu rasa hati, dengan bacaan imam yang mendayu-dayu. Kadang kala terfikir, setimpalkah dengan peluang yang telah Allah izinkan selama 14 hari di bulan Ramadhan dengan amal ibadat yang telah dilaksanakan. Bagaimana orang-orang soleh tidak lekang dengan sujud memohon keampunan tatkala Ramadhan bakal menjengah 10 hari yang terakhir. Bagaimana pula diri sendiri yang seringkali lalai dan alpa akan usaha memperbanyakkan amalan dan zikir yang sepatutnya. Keluhan 14 hari Ramadhan.

Tidak banyak yang ingin saya tulis di sini tapi ingin berkongsi apa yang saya terbaca tazkirah oleh ust. Zaharuddin...www.zaharuddin.net -

"OBJEKTIF PUASA & ANTI VIRUS DOSA

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya :
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa ( Al-Baqarah : 183)

Kalimah ‘La'alla' di dalam ayat di atas boleh diterjemah kepada maksud, ‘agar' atau ‘semoga' atau ‘mudah-mudahan'.Kalimah ini menjadi tanda bahawa apa yang selepasnya adalah objektif kepada puasa. Kalimah ini memberi makna, pelaksanaan ibadah puasa mampu membawa seseorang untuk memiliki sifat taqwa, sebuah antivirus kepada segala jenis penyakit hati dan dosa.

Di dalam dunia fizikal dan material. Tanpa anti virus, swine flu, brid flu, Aids dan pelabagai lagi virus boleh menjadi asbab kepada kematian manusia.Tanpa antivirus taqwa, iman dan islam seseorang juga akan mati, sama ada dia seorang kanak-kanak, remaja, dewasa atau tua.Tanpa antivirus taqwa, manusia hari ini menjadi kelam kabut serta hina tanpa pedoman, hidup sering berpura-pura.

Anak berpura-pura baik di hadapan ibu ayah, Murid dan pelajar berpura-pura di hadapan guru dan pensyarahnya, Ibu ayah berpura-pura baik di hadapan anak dan para ustaz, Para ustaz dan ustazah berpura-pura baik di hadapan khalayak ramai Isteri berpura-pura baik di hadapa suami, Suami berpura baik di hadapan isteri Dan berpanjanganlah senarainya.

Semua akibat ketiadaan antivirus dosa, iaitu TAQWA. Kebaikan dan ibadah menjadi bertempat dan bertempoh, tiada istiqamah serta konsisten. Keredhaan dan pujian manusia lain menjadi objektif tertinggi, menyeleweng dari objektif sebenar.


Tatkala itulah hadirnya musim pemulihan, Allah swt sediakan peluang bagi manusia yang sifatnya asyik berdosa dan berpura-pura agar kembali membetulkan punca salah, bajai akar kehidupan dengan iman, sirami ia dengan air TAQWA selaku pencegah kepada kepura-puraan dan kecintaan kepada nikmat sementara dunia serta perbuatan dosa..."


Beberapa perkara yang dapat saya petik dari tazkirah beliau. Mudah-mudahan ada manfaatnya.

Salam Ramadhan ke -15...Wassalam.